Showing posts with label Lelaki lebih berisiko mendapat kanser buah pinggang. Show all posts
Showing posts with label Lelaki lebih berisiko mendapat kanser buah pinggang. Show all posts

Tuesday, November 8, 2016

Lelaki lebih berisiko mendapat kanser buah pinggang

Peluang kita untuk mendapat kanser buah pinggang dalam seumur hidup adalah 1.6 peratus dan peratusan untuk mendapat kanser ini berbanding kanser lain adalah tiga peratus.

Walaupun bilangan peratusan itu terlalu kecil, tetapi jika diserang kanser ini anda terpaksa memberikan 100 peratus daripada segala apa yang ada untuk mendapatkan kembali buah pinggang yang sihat dan normal.

Ini kerana, kanser buah pinggang akan menjejaskan kesihatan penghidapnya seperti ditonjolkan gejala penyakit ini iaitu kelesuan, kencing berdarah, kesakitan di bahagian pinggang, hilang selera makan, berat badan susut dan bonjolan pada buah pinggang.

Satu lagi fakta menakutkan mengenai kanser buah pinggang iaitu penyakit ini lebih tinggi risikonya terhadap lelaki berbanding wanita. Nisbah lelaki dan wanita menghidap kanser buah pinggang adalah 1.5:1.

Kanser ini juga lebih banyak dihidapi mereka berusia 40 tahun ke atas. Semakin kita meningkat usia, semakin tinggi kadar insidennya terutama mereka yang berusia antara 60 hingga 70 tahun. Namun, bagi golongan muda yang dikesan menghidap kanser buah pinggang berkemungkinan besar disebabkan penyakit keturunan.

Perunding Pakar Urologi Pusat Perubatan Sunway (SunMed), Dr Badrulhisham Bahadzor berkata, kanser buah pinggang paling banyak dihidap adalah dari jenis sel karsinoma renal (RCC) dan sehingga kini masih belum jelas punca sebenar penyakit terbabit.

Namun, penyelidik tidak menolak kemungkinan kanser buah pinggang disebabkan gangguan genetik apabila sel buah pinggang mengalami mutasi menyebabkan ia membesar dan berbelah dengan pantas.

Pengumpulan sel yang tidak normal itu kemudian membentuk kanser yang boleh merebak ke bahagian lain tubuh seperti paru-paru, hati dan tulang.

“Selain peningkatan usia yang menjadi faktor risiko menghidap kanser buah pinggang, mereka yang merokok juga berisiko tinggi mendapat penyakit ini berbanding orang yang tidak merokok. Namun, risiko terbabit akan berkurangan jika perokok berhenti merokok.

“Penghidap obesiti dan tekanan darah tinggi (hipertension) juga berisiko tinggi mendapat kanser ini. Selain itu, pesakit yang melakukan rawatan dialisis untuk jangka masa panjang kerana kegagalan buah pinggang berfungsi dan penerima pemindahan buah pinggang juga tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi.

“Namun, bagi mereka yang dilahirkan dengan mewarisi penyakit sindrom Von Hippel-Lindau, sindrom Birt-Hog-Dube dan Tuberous sclerosis juga mendapat risiko yang serupa,” katanya.

Bagi pesakit muda (yang memperoleh kanser buah pinggang akibat keturunan), mereka juga mengalami komplikasi lain termasuk ketumbuhan di bahagian lain tubuh seperti pada kulit.

Mereka juga memerlukan penilaian rapi bagi mengesan komplikasi perubatan yang lain, malah anggota keluarga juga wajar menjalani pemeriksaan kerana ia penyakit yang diwarisi.

“Secara global, kanser buah pinggang berada pada tangga ke-14 dengan kadar insiden 4.4 daripada 100,000 populasi dan kematian pula 1.8 daripada 100,000 populasi.

“Kanser buah pinggang juga adalah di tangga kesembilan paling banyak dihidapi lelaki dalam peringkat dunia. Kanser pundi kencing adalah paling banyak dihidapi dalam kalangan lelaki dalam kanser berkaitan urologi.

“Di Malaysia, kanser buah pinggang berada di tangga ke-11 dengan kadar insiden adalah 1.8 daripada 100,000 populasi. Kadar ini meningkat sedikit demi sedikit disebabkan perubahan gaya hidup masyarakat,” katanya.

Dr Badrulhisham berkata, kanser buah pinggang juga dikategorikan sebagai penyakit senyap kerana penghidapnya tidak menyedari mereka diserang kanser ini berikutan buah pinggang terletak pada kedudukan jauh tersembunyi dalam tubuh kita.

“Ada banyak organ lain di sekeliling buah pinggang kita, oleh itu ia memberi banyak masa untuk kanser itu membesar sebelum kita menyedari masalah yang timbul.

“Pada peringkat awal, tiada tanda penyakit dapat dikesan dan pesakit yang datang kepada doktor didapati kansernya sudah berada di tahap akhir. Pesakit biasanya mengadu gejala yang tidak spesifik iaitu terlalu letih, berat badan menyusut, tiada selera makan dan kadangkala kerap demam.

“Keseluruhannya, gejala yang biasa adalah kabur dan pesakit berasa sesuatu yang tidak kena. Inilah kemungkinan tanda-tanda awal yang mendorong pesakit menemui doktor.

“Bagaimanapun, tidak semestinya tanda-tanda terbabit merujuk kepada kanser buah pinggang kerana ia mungkin tanda bagi penyakit lain. Sukar juga membuat diagnosis hanya berdasarkan sejarah perubatan dan pemeriksaan fizikal saja, tambah lagi buah pinggang kelihatan normal ketika doktor melakukan pemeriksaan,” katanya.

Katanya, jika pesakit mengadu kencing mereka berdarah, masalah itu sudah cukup menjadi tanda amaran dan gejala pertama kanser buah pinggang tetapi bagi doktor, penyakit hanya disahkan sehingga dibuktikan.

“Doktor perlu menyiasat kemungkinan kanser di buah pinggang, pundi kencing, prostat dan bahagian lain dalam sistem urinari. Apabila doktor mendapati tidak kanser ditemui dalam organ urinari pesakit, masalah mungkin berpunca daripada penyakit batu karang atau jangkitan.

“Sampel air kencing diambil dan diuji kehadiran darah sebelum siasatan lanjut dilakukan seperti imbasan pengiraan darah dan imbasan kimia darah selain pemeriksaan sama ada pesakit mempunyai darah yang mencukupi dan jika organ seperti buah pinggang dan hati berfungsi dengan normal.

“Namun, ujian terpenting sekiranya pesakit disyaki mempunyai ketumbuhan adalah ultra bunyi. Jika terdapat ketumbuhan, doktor akan membuat imbasan lanjut menggunakan tomografi berkomputer dan dengan alat ini diagnosis dapat dilakukan seperti mengesan tahap kanser,” katanya.

Semua jenis kanser diklasifikasikan kepada empat tahap yang dimulakan dengan ketumbuhan paling kecil sehingga sudah merebak ke organ lain. Bagi kanser buah pinggang, tahap satu adalah ketumbuhan yang saiznya kurang tujuh sentimeter, tahap dua apabila ketumbuhan sudah lebih tujuh sentimeter tetapi masih berada di buah pinggang.

Tahap tiga pula apabila ketumbuhan semakin agresif dan merebak ke salur darah, manakala tahap empat apabila kanser semakin serius dan merebak ke paru-paru, tulang, otak dan hati.

“Kanser buah pinggang merebak naik ke atas disebabkan sifat kanser itu sendiri yang biasanya cuba mengembang ke dalam salur darah. Salur darah menghantar semula darah ke jantung dan diterima bahagian kanan jantung.

“Bahagian kanan jantung ini yang membekal darah kepada paru-paru dan jika sel kanser merebak, ia akan pergi ke paru-paru iaitu tapak pertama proses ketumbuhan berkembang.

“Pesakit mungkin tidak mengalami gejala apabila ketumbuhan sudah naik ke paru-paru. Ada pun sedikit seperti batuk-batuk biasa yang bukan disebabkan oleh jangkitan,” katanya.

Pesakit yang didiagnosis dengan kanser dikatakan mempunyai kadar kelangsungan hidup selama lima hingga 10 tahun dengan disusuli rawatan. Bagi kanser buah pinggang, tahap satu mempunyai kadar kelangsungan hidup lima tahun sebanyak 81 peratus, tahap dua menurun kepada 74 peratus, tahap tiga berkurang kepada 53 peratus, manakala tahap empat hanya empat peratus.

Namun, jenis sel kanser juga mempengaruhi kadar kelangsungan hidup apabila kanser dengan gred rendah peluang kadar kelangsungan hidup adalah lebih baik berbanding kanser gred tinggi yang lebih agresif. Tahap kanser dan jenis gred perlu dinilai bersama untuk meramal kadar kelangsungan hidup setiap pesakit.

“Tahap satu biasanya dirawat dengan pembedahan, rawatan terbaik adalah membuang kanser itu sama ada membuang sebahagian organ yang ada ketumbuhan atau membuang keseluruhan buah pinggang dan ini bergantung kepada sejarah perubatan serta perbincangan pesakit.

“Pilihan terbaik bagi kanser tahap dua dan tiga adalah membuang buah pinggang disebabkan ketumbuhan sudah membesar, manakala di tahap empat pula rawatan semakin kompleks kerana kalau buang buah pinggang pun ketumbuhan sudah merebak ke organ lain.

“Bagaimanapun, jika pesakit mampu bertahan dan membuang buah pinggang walaupun di tahap empat juga membantu kesihatan pesakit berbanding tidak melakukan pembedahan. Walaupun kansernya tidak dapat disembuhkan, pesakit masih ada jangkaan hayat lebih lama dan kualiti hidup lebih baik apabila kurang kesakitan dan tiada darah dalam air kencing,” katanya.

Dr Badrulhisham berkata, pembedahan membuang ketumbuhan secara laparoskopi adalah digalakkan kerana kurang torehan, parut lebih kecil, tempoh penginapan singkat di hospital dan pemulihan lebih cepat serta boleh kembali bekerja.

“Namun, ada kaedah pembedahan lain untuk membunuh sel kanser peringkat awal seperti cryoablasi iaitu sel kanser dibekukan sebelum dimusnahkan atau meleburkan sel kanser dengan cara pemanasan haba menggunakan radiofrekuensi (RFA).
“Selepas pembedahan pesakit boleh kembali meneruskan rutin kehidupan, tetapi mereka disyorkan untuk mengubah gaya hidup kepada lebih sihat dengan mengamalkan pemakanan yang baik, senaman dan beriadah.

“Mereka juga perlu melakukan pemeriksaan susulan setiap tiga hingga enam bulan dengan melakukan ujian darah dan imbasan bagi memastikan jika kanser menyerang semula dan sebarang kemungkinan boleh diatasi pada peringkat awal,” katanya.

Oleh Zaitie Satibi zaisa@hmetro.com.my
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2015 @ 5:02 AM

Hubungi saya,

Hafiz Rahman | 012.378.9094 | PruBSN Takaful | http://HRtakaful.blogspot.my

#takafulisgood #hrtakaful #hr0123789094 #ssggroup #ssg8w3 #victoryempire #prudentialbsntakaful #prudential #sehatisejiwa #bukalahati #ikhlasberjuang #kitasama